A Word and Thought from the person who love "talk" this is what am my... FareezVanfillers of "words" and "thought" Smile Lovers Its Me

Sunday, 26 May 2019

PROGRAM “IHYA RAMADHAN KELANTAN TRIP 2019”



KOTA BHARU, 20 MEI 2019: Pejabat Tourism Malaysia Kelantan dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan dan Syarikat Penerbangan Firefly akan menganjurkan Program Ihya Ramadan Kelantan Fam Trip 2019 pada 20 hingga 23 Mei 2019.


Program lawatan ini adalah bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan ketenangan di negeri Kelantan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada pihak media dan agensi pelancongan dari seluruh negeri. Program ini juga bertujuan mempromosikan produk-produk pelancongan yang sinonim dengan jolokan negeri “Serambi Mekah” ini selain aktiviti-aktiviti berunsurkan keislaman dan kerohanian yang diamalkan oleh rakyat Kelantan ketika menyambut bulan Ramadhan.


Seramai 60 peserta yang terdiri daripada para media, agensi pelancongan, pegawai Tourism Malaysia dan pegawai MOTAC dari seluruh negeri menyertai program ini. Sasaran peserta program ini adalah khusus untuk yang bukan beragama Islam (Cina, India dan lain-lain) bagi memberikan pengalaman yang unik sepanjang bulan Ramadhan di negeri Kelantan.


Setiap kali menjelang tiba bulan yang penuh kemuliaan ini, rakyat Kelantan akan mengadakan persiapan rapi dalam menyambut bulan Ramadhan. Justeru itu, senario seperti inilah yang ingin ditonjolkan dalam mengangkat suasana “Ihya Ramadhan” di negeri Kelantan ke peringkat yang lebih tinggi.


Program ini juga bertujuan bagi memperkenalkan produk-produk pelancongan yang berunsurkan keislaman seperti Bersuluk di Makam Tok Selehor, Masjid Muhammadi yang menjadi pusat penyampaian ilmu oleh ulama tersohor iaitu Tok Kenali, Masjid Kampung Laut iaitu masjid tertua di Malaysia berusia lebih 300 tahun dan Masjid Ar Rahman, Kg. Pulau Gajah yang terkenal dengan keindahan senibina bangunan.


Para peserta juga akan dibawa untuk mengikuti Program Ihya Ramadhan yang merupakan suatu program mega tahunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan. Program yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam ini diadakan sepanjang bulan Ramadhan bertempat di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang dikenali sebagai Qaryah Ramadhan di Serambi Mekah.


Program ini juga memperkenalkan kemeriahan Bazar Ramadhan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV serta amalan makan colek selepas solat sunat terawih yang sangat popular di kalangan rakyat Kelantan.


Di Kelantan juga terkenal dengan sistem pengajian Islam (Pondok). Bagi program ini, peserta dibawa melawat Madrasah Ihya Ulumuddin, Pasir Puteh bagi melihat secara lebih dekat aktiviti harian pelajar sepanjang bulan Ramadan.


Selain terkenal dengan produk pelancongan Islam, Negeri Cik Siti Wan Kembang ini juga popular dengan makanan tradisional di mana pada bulan Ramadan, pelbagai kuih muih yang unik dipasarkan contohnya kuih nekbat, kuih ‘kuba guling’ dan sebagainya.


Berdasarkan kepada Kajian Kadar Penginapan Hotel yang dijalankan oleh Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia, pada tahun 2017 telah merekodkan peningkatan kedatangan penginap hotel ke Kelantan sebanyak 0.37% dengan bilangan 1,201,120 orang penginap hotel berbanding pada tahun 2016 iaitu seramai 1,196,685 orang penginap hotel.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pejabat Tourism Malaysia Kelantan di talian 09-747 7554.



Pejabat Tourism Malaysia Kelantan

Tel: 09-747 7554 Faks: 09-747 8010

0 comments:

Post a Comment

Labels

  • (1)